NEWS

Kopi dimasak arang kayu kebanggaan Sarikei 

Oleh Khalid Latip

bhnews@bh.com.my KONGSI ARTIKEL Share SARIKEI: 


Aroma haruman kopi asli menyelubungi pejabat operasi Ngu Brothers Trading Co. di Jalan Jakar dekat ini, sebaik sahaja penulis melangkah masuk ke premis berkenaan. Diusahakan tiga generasi, kopi asli menggunakan jenama Traditional Charcoal Roasted Coffee ini cukup dikenali di segenap pelusuk Bumi Kenyalang kerana cara pembuatannya yang cukup unik kerana dibakar menggunakan arang kayu. Biarpun hanya beroperasi dalam kilang kecil, keluarga pengeluar kopi berkualiti tinggi ini mendominasi sebahagian besar rangkaian bekalan ke kedai kopi dan pasar raya di kebanyakan bandar utama di Sarawak. Difahamkan, syarikat berkenaan mampu mengeluarkan 8,000 kilogram kopi sebulan, dengan jumlah permintaan terus meningkat, namun tidak mampu memenuhinya disebabkan pelbagai faktor termasuk kekangan peralatan dan sumber tenaga. 

Pengurus Ngu Brothers, Ngu Tung King, berkata pembabitan keluarganya dalam perusahaan kopi bermula daripadanya datuknya yang mencari rezeki sebagai pembancuh kopi di sebuah kedai makan. "Pekerjaan pertamanya membuatkan beliau jatuh cinta kepada kopi. Bermula dengan modal kecil, yang diperoleh dari pendapatannya, datuk belajar memproses kopi secara kecil-kecilan. "Hasil jualannya dikumpulkan sedikit demi sedikit untuk mengembangkan perniagaan, seterusnya memburu impian bergelar taukeh kopi berjaya walaupun impiannya dipandang sinis ramai rakan.

"Namun, syarikat ini sudah beroperasi selama tiga generasi. Saya adalah generasi ketiga yang meneruskan legasi perniagaan ini," katanya. Tung King berkata, syarikat keluarganya mengeluarkan kopi berbentuk pek bungkusan yang dijual mengikut gred dan jenis tertentu seperti Robusta, Arabika, Liberika dan Kopi Putih pada harga antara RM18 hingga RM35 sekilogram. Selain Sarikei, pasaran utama mereka termasuk Kuching, Saratok, Roban, Sibu, Julau dan Pakan, malah permintaan kini turut diperoleh dari Bintulu serta Miri. "Kita hanya menggunakan biji kopi terbaik yang diimport Amerika Latin, khususnya Brazil, selain rantau Arab. Pemprosesannya pula menggunakan tenaga kerja mahir dan terlatih bagi memelihara keasliannya. "Bagi menyediakan kopi yang enak dan mempunyai rasa tersendiri, pemprosesan ini dilakukan secara manual, termasuk memanggang biji kopi menggunakan arang kayu. Inilah 'resepi rahsia' yang mempengaruhi rasa kopi keluaran Ngu Brothers yang tiada pada kopi lain," katanya. 

Untuk memastikan produk dihasilkan benar-benar berkualiti tinggi, proses memanggang biji kopi mengambil masa sekurang-kurang sejam bagi setiap tong yang beratnya mencecah 30 kilogram setiap satu. Tung King berkata, setiap hari, pekerjanya mampu memproses sehingga lapan tong, bermula jam 6 pagi, dengan purata kapasiti pengeluaran mencecah 180 kilogram sehari. "Ramai tidak tahu kerja membuat kopi ini jauh berbeza dengan pekerjaan lain. Hanya mereka berpengalaman dan pakar saja boleh melakukannya. Nampak mudah, namun prosesnya sangat rumit. Kita hanya dapat memastikan biji kopi 'masak' melalui tiga cara iaitu `3M - Mendengar, Melihat dan Menghidu'. "Bunyi, bau dan kepulan asap putih yang keluar ketika memanggang menandakan biji kopi sudah 'masak'. Sebaik sahaja masak, kopi yang masak perlu dipindahkan ke dalam satu tempat khas dan mesti dicampur dengan bahan tertentu. 

Proses mengadun pula harus dilakukan dengan tanpa henti dalam tempoh 15 minit," katanya. Katanya, proses itu cukup penting kerana adunan yang tidak sekata boleh menjejaskan boleh menjejaskan kualiti kopi yang dihasilkan. "Datuk saya berpesan, dalam kita menjalankan perniagaan, jangan hanya mengejar keuntungan semata-mata. Aspek kualiti perlu dijaga kerana kita mahu memberi nikmat rasa kopi asli kepada pelanggan," katanya. INFO Kopi tradisional Ngu Brothers dapat permintaan tinggi kerana keaslian dan aromanya Pengasasnya bermula sebagai pelayan kedai kopi Ngu Brothers mampu keluarkan 8,000 kilogram kopi sebulan Biji kopi diimport dari Amerika Latin, Arab dan Afrika Dimasak menggunakan arang kayu bagi mengekalkan keasliannya.

No comments:

Post a Comment